September 15, 2010

Ilmu Tatabahasa 6: Sintaksis 4: Ragam Ayat.



(D) RAGAM AYAT
Dilihat dari segi ragam ayat, ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif.

PENJENISAN AYAT AKTIF
Ayat aktif terbahagi dua iaitu:
i) Ayat Aktif Transitif
ii)Ayat Aktif Tak Transitif

AYAT AKTIF TRANSITIF
Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambutnya.

Contohnya:
a) Penyalahgunaan najis dadah mengancam keselamatan negara kita.
b) Beliau mengesahkan bahawa surat itu sudah dikirim.
c) Ayah membelikan ibu seutas rantai emas.
d) Sultan Pahang menganugerahkan gelaran Datuk kepada Siti Nurhaliza.

AYAT AKTIF TAK TRANSITIF
Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya. Terdapat dua jenis ayat aktif tak transitif.

i) Ayat Aktif Tak Transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan.
- Ayat jenis ini mengandungi kata kerja tak transitif yang boleh mengandungi frasa keterangan secara pilihan, iaitu boleh digugurkan.

Contohnya:
(a) Pasukan ragbi sedang berlatih di padang.
Pasukan ragbi sedang berlatih.
(b) Kita hendaklah berpuasa di bulan puasa.
Kita hendaklah berpuasa.

ii) Ayat Aktif Tak Transitif dengan Keterangan yang Tidak Boleh Digugurkan.
- Ayat jenis ini mesti mengandungi kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh unsur pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini berfungsi sebagai frasa keterangan yang tidak boleh digugurkan.

Contohnya;
(a) Semasa kejadian itu saya berada di luar negara.
Semasa kejadian itu saya berada ......(ayat tidak sempurna tanpa frasa keterangan sebagai unsur pelengkap)
(b) Saya bercadang untuk ke sana esok.
Saya bercadang ..........

PENJENISAN AYAT PASIF
Secara umumnya Ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu:
i) Ayat Pasif dengan imbuhan kata kerja
ii) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.
iii)Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja

AYAT PASIF DENGAN IMBUHAN KATA KERJA PASIF
Dua imbuhan kata kerja pasif ialah di- dan ter-. Contoh penggunaan dalam ayat:
a. Buku itu belum dibaca oleh Ali.
b. Tembok itu telah terlanggar oleh lori sampah.

CATATAN:
- Ayat pasif dengan kata kerja berawalan di- hanya digunakan dengan frasa nama objek orang ketiga. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua mempunyai bentuk pasif yang berlainan.
- Selain di- dan ter-, ayat pasif juga dibentuk dengan kata kerja yang mengandungi imbuhan ber- dan ke-....-an Dalam ayat-ayat berbentuk begini, bahagian oleh + FN biasa tidak diperlukan.

Contohnya:
a) Kerana alat penghawa dingin itu rosak, kami kepanasan sepanjang hari.
b) Malam tadi beberapa buah rumah di kampung saya kecurian.
c) Baju pengantin itu berjahit dengan benang sutera.
d) Surat sahabat karibnya belum berjawab.

AYAT PASIF DENGAN PERKATAAN `KENA'
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh secara pilihan digugurkan.

Contohnya:
a) Penagih dadah itu kena tangkap (oleh penduduk kampung).
b) Pencuri itu kena kejar (oleh anjing).
c) Pemandu itu kena saman (oleh polis)

No comments: