September 15, 2010

Ilmu Tatabahasa 5: Sintaksis 3: Susunan Ayat.



(C) SUSUNAN AYAT

Ayat terdiri daripada subjek dan predikat. Dari segi susunan binaan ini, terdpat dua bentuk susunan, iaitu:
- Susunan biasa
- Susunan songsang

(i) SUSUNAN BIASA
Susunan biasa bermaksud susunan subjek ayat mendahului predikatnya.

Contohnya:
a. Pemandangan di kampung itu (subjek) sungguh cantik.(predikat)
b. Majlis itu (subjek) selesai juga akhirnya.(predikat)
c. Pasukan bola sepak Chelsea (subjek) belum tiba lagi. (predikat)
d. Hadiah itu (subjek) daripada cikgu Ahmad.(predikat)

(ii) SUSUNAN SONGSANG
Susunan songsang ialah susunan ayat yang predikatnya telah dikedepankan, iaitu mendahului subjek. Bagi ayat (1) di atas, susunan songsanya ialah:
1. Sungguh cantik (predikat) pemandangan di kampung itu.(subjek)

CATATAN: Tujuan membawa bahagian predikat ke hadapan ayat ialah untuk memberi penegasan.

Terdapat DUA cara mendepankan predikat ayat dalam bahasa Melayu iaitu:
1. Mendepankan keseluruhan predikat
2. Mendepankan sebahagian predikat

PENDEPANAN SELURUH PREDIKAT
Dalam proses pendepanan seluruh predikat, seluruh predikat dibawa ke hadapan ayat, mendahului subjek.

Contohnya:
a. Majlis itu (subjek) selesai juga akhirnya.(predikat)
Selesai juga akhirnya (predikat) projek itu.(subjek)
b. Pasukan bola sepak Chelsea (subjek) belum tiba lagi.(predikat)
Belum tiba lagi (predikat) pasukan bola sepak Chelsea (subjek)
c. Hadiah itu (subjek) daripada cikgu Ahmad.(predikat)
Daripada cikgu Ahmad (predikat) hadiah itu.(subjek)

Walau bagaimanapun pendepanan sebahagian daripada predikat juga boleh berlaku, iaitu:
(i) pendepanan frasa kerja
(ii) pendepanan frasa adjektif
(iii) pendepanan frasa sendi nama

1. PENDEPANAN FRASA KERJA
Dalam proses ini, bahagian frasa kerja, iaitu kata kerja sahaja, kata kerja dengan objek, kata bantu dengan kata kerja boleh mengalami proses pendepanan.

(i) Pendepanan kata kerja sahaja
(a) Lelaki itu terduduk di situ.
Terduduk lelaki itu di situ
(b) Mereka berkelah di tepi pantai.
Berkelah mereka di tepi pantai.

(ii) Pendepanan Kata Kerja Dengan Objek
(a) Buku-buku itu dibakarnya.
Dibakarnya buku-buku itu.
(b) Ali membeli buku-buku itu di Pustaka Popular.
Membeli buku-buku itu Ali di Pustaka Pupular.

(iii) Pendepanan Kata Bantu Dengan Kata Kerja
(a) Pelajar-pelajar itu sedang makan di kantin sekolah.
Sedang makan pelajar-pelajar itu di kantin sekolah.
(b) Ali pernah pergi ke New Zealand.
Pernah pergi Ali ke New Zealand.

2. PENDEPANAN FRASA ADJEKTIF
Bahagian-bahagian daripada frasa adjektif boleh dihadapankan, iaitu mendahului subjek. Bahagian-bahagian tersebut ialah kata adjektif sahaja dan kata bantu dengan kata adjektif.

Contohnya:
(a) Pendepanan kata adjektif sahaja
i) Badannya lesu sepanjang masa.
Lesu badannya sepanjang masa.

(b) Pendepanan kata bantu dengan kata adjektif
i) Buah kuini itu belum tentu elok.
Belum tentu elok buah kuini itu.

3. PENDEPANAN FRASA SENDI NAMA
Frasa sendi nama merupakan salah satu predikat ayat. Frasa ini boleh dihadapankan, secara keseluruhan, apabila hadir sama ada sebagai predikat ayat atau sebagai unsur keterangan dalam ayat.

Contohnya:
(a) Arahan itu daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Daripada Kementerian Pelajaran Malaysia arahan itu.
(b) Rombongan itu akan bertolak pada pagi esok.
Pada pagi esok rombongan itu akan bertolak.
(c) Kuih-muih itu disediakan untuk para tetamu yang akan datang.
Untuk para tetamu yang akan datang kuih itu disediakan.

No comments: