March 17, 2009

Ilmu Tatabahasa 3: Sintaksis 1: Binaan Ayat.


Definisi Sintaksis:  
Bidang ilmu yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis juga bermaksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

A. Binaan Ayat.

1. Ayat ialah suatu bentuk bahasa yang TERBINA dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian iaitu SUBJEK dan PREDIKAT.

2. Jumlah ayat tidak terbatas, namun semua itu terbahagi kepada DUA golongan sahaja, iaitu:
AYAT INTI (AYAT DASAR) dan AYAT TRANSFORMASI.

3. AYAT INTI ialah AYAT DASAR yang paling sederhana bentuknya dan merupakan AYAT TUNGGAL, yakni terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. 

Contohnya:
(a) Orang itu / guru.
(b) Dia / di rumah.
(c) Rumah itu / besar sekali.
(d) Ali / duduk di situ.
(e) Anjing / mengejar kucing.

4. AYAT TRANSFORMASI pula ialah ayat lain yang kebanyakannya berasal daripada ayat inti (ayat dasar), tetapi dengan bentuk yang berubah, atau sekurang-kurangnya maksudnya berubah. 

Contohnya:
(a) Orang itu bukan guru.(bentuknya sama tapi maksudnya lain)
(b) Dia di rumah?(bentuknya sama tetapi maksudnya berubah menjadi ayat tanya)
(c) Besar sekali rumah itu. (maksudnya sama tetapi bentuknya berubah menjadi ayat songsang)
(d) Duduklah di situ. (bentuk dan maksudnya berubah menjadi ayat perintah)
(e) Kucing itu dikejar anjing. (maksudnya sama tetapi bentuknya berubah menjadi ayat pasif)

5. Dalam bahasa Melayu terdapat EMPAT pola ayat dasar.

Secara ringkasnya, empat pola ayat dasar tersebut seperti berikut:

Pola 1 - Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Contoh Ayat : Abdullah (FN) pelajar Sekolah Menengah Teknik Shah Alam.(FN)

Pola 2 - Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Contoh Ayat : Pengetua (FN) sedang berucap. (FK)

Pola 3 - Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Contoh Ayat : Era Fazira (FN) sungguh cantik. (FA)

Pola 4 - Frasa Nama + Frasa Sendi (FN + FK)
Contoh Ayat : Ibu pejabat syarikat kami (FN) di Kuala Lumpur. (FS)


*Bersambung pada entri akan datang dengan tajuk Sintaksis 2: Jenis Ayat.


March 15, 2009

Ilmu Tatabahasa 2: Kata Sendi & Kata Jamak.


A. Penggunaan kata Sendi Nama dari dan daripada.

Kata sendi nama dari digunakan untuk menunjukkan arah, tempat dan masa (ATM).

Kata sendi nama daripada pula digunakan untuk menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau perbandingan atau perbezaan.

Contoh:
1. Jarak dari rumah saya ke sini tidak sampai dua kilometer.
2. Pemeriksaan ke atas pesakit kronik itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.
3. Rumah terbuka saya akan diadakan dari pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 6.00 petang.
4. Ali mendapat hadiah hari jadi daripada ibunya.
5. Keluarganya berasal daripada keluarga bangsawan.
6. Remaja perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak.
7. Anda lebih baik membaca buku daripada membuang masa dengan melepak.
8. Pagi tadi abang bangun awal daripada biasa.


B. Penggunaan Kata Jamak Selepas Kata Bilangan.


Apabila sudah menggunakan kata bilangan (contoh: tiga, dua belas, beberapa, semua, kebanyakan, seberkas, dalam kalangan dan sebagainya), maka kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan lagi.

Contoh:
1. Tiga buah rumah-rumah ...............................(salah)
Tiga buah rumah ............................................(betul)
2. Beberapa orang anggota-anggota bomba ...(salah)
Beberapa orang anggota bomba ...................(betul)
3. Semua penduduk-penduduk ........................(salah)
Semua penduduk ............................................(betul)
4. Para guru-guru ...............................................(salah)
Para guru .........................................................(betul)
5. Kebanyakan penyanyi-penyanyi .................(salah)
Kebanyakan penyanyi ...................................(betul)
6. Pakaian-pakaian yang dijual di kedai itu murah-murah belaka....(salah)
Pakaian-pakaian yang dijual di kedai itu murah belaka ...............(betul)


Sekian. Ini sahaja buat masa ini.



January 23, 2009

Tajuk Karangan: Jenis Perbincangan


Sudah menjadi trend dalam kalangan pelajar sekolah untuk mengambil jumlah mata pelajaran melebihi daripada sepatutnya dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi mencipta rekod.


Soalan 1 (Tiada tugasan khusus)
Contoh: Bincangkan trend tersebut.
Soalan ini mengkehendaki pelajar menulis apa-apa sahaja yang berkaitan isu tersebut. Skop perbincangannya lebih luas. Pelajar boleh menulis tentang faktor-faktor yang mendorong pelajar mengambil jumlah mata pelajaran yang banyak, kebaikan pelajar mengambil jumlah mata pelajaran yang banyak dan keburukan pelajar mengambil mata pelajaran yang banyak.


Soalan 2 (Terdapat tugasan khusus)
Contoh: Bincangkan keburukan trend tersebut.
Soalan perbincangan jenis ini lebih terarah iaitu pelajar perlu menjana idea tentang implikasi buruk yang timbul sekiranya pelajar mengambil lebih banyak mata pelajaran dalam peperiksaan SPM. Kesan buruk terhadap diri sendiri, keluarga pelajar, masyarakat dan kerajaan boleh diketengahkan.


*Andai anda berkelapangan, ambillah inisiatif untuk menulis karangan ini. Wacana yang telah siap bolehlah dihantar secara manual kepada saya atau e-melkan ke alamat shazlan69@gmail.com





January 22, 2009

Ilmu Tatabahasa 1: Kata Pemeri Ialah dan Adalah.

A. Kata Pemeri 'ialah' menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama.

Contoh Ayat:
 
i) Anak ialah anugerah Allah.
ii) Beliau ialah orang yang dimaksudkan.
iii) Kaum lelaki ialah elemen terpenting dalam usaha memajukan negara.
iv) Masalah yang kita hadapi ialah kekurangan guru lelaki
v) Matlamat perjuangan kita ialah pembinaan bangsa yang bermaruah.
vi) Memandangkan anda ialah bekas pelajar SMTSA, anda dijemput ke majlis itu.
vii) Perkara ini ialah masalah yang perlu diselesaikan segera.
viii) Badminton ialah sukan yang semakin diminati oleh masyarakat negara ini.

B. Kata pemeri 'adalah' menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh Ayat:

i) Kursus ini dalah untuk pelajar bermasalah sahaja.
ii) Kerja-kerja pembaikan longkang itu dijangka siap adalah pada minggu hadapan.
iii) Warna baju itu adalah merah.
iv) Matlamat utama persatuan ini adalah untuk membantu golongan miskin.
v) Satu usaha yang dijalankan untuk membantu rakyat Palestin adalah dengan mengadakan tabung amal Palestin.


*CATATAN:

1. 'Adalah' tidak boleh digunakan pada awal ayat.

Contoh :
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa....... (SALAH)
Dengan ini dimaklumkan bahawa .... (BETUL)


2. Selain itu, dalam penulisan, kita kerap membuat kesalahan dengan menggunakan ungkapan 'adalah' + kata kerja seperti yang berikut:
...adalah berasaskan, ...adalah berdasarkan,...adalah dibuat, ..adalah merupakan,..adalah melambangkan,..adalah diperakui,..adalah dinasihati,..adalah menjadi, ..adalah dipelawa,...dan sebagainya.

Contoh:
Para pelajar adalah dipelawa menyertai program itu. (SALAH)
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan persetujuan semua pihak. (SALAH)
Para pelajar dipelawa menyertai program itu (BETUL)
Keputusan ini diambil berdasarkan persetujuan semua pihak. (BETUL)


KESIMPULAN:
a) Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja.
b) Kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja.

*Rujukan:
1. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1997) DBP Kuala Lumpur
2. Koleksi Pedoman Bahasa Bil. 1. DPP Kuala Lumpur

Ralat dan Tambahan Arahan.


Pembetulan/ralat:

Kepada pelajar 5KM8, bukannya 5KM9 

Tambahan arahan:
Kajian para pelajar hendaklah dihasilkan dalam bentuk folio. Folio yang telah siap hendaklah dihantar pada 9 Februari 2009. Sebarang pertanyaan, sila hantar melalui sistem pesanan ringkas kepada saya melalui 017 8870797 atau anda boleh menjadikan saya sahabat anda melalui `facebook (FB)'. FB saya boleh dicapai melalui pengenalan iaitu mohassah borhan atau email cmbvios@yahoo.com.my. Sekian, terima kasih.

Manfaatkan Cuti Sebaiknya.

Kepada pelajar-pelajar 5KM9, manfaatkan cuti panjang Tahun Baru Cina dengan mengkaji ilmu sintaksis (pembinaan ayat). Kajian anda hendaklah meliputi;

- Binaan Ayat
- Jenis-jenis Ayat
- Susunan ayat
- Ragam Ayat
- Bentuk Ayat

Setiap bahagian hendaklah dikaji dengan teliti.

*Cadangan rujukan : 
1. Tatabahasa Dewan Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1997
2. Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu Terbitan Sasbadi 2007