September 15, 2010

Ilmu Tatabahasa 7: Sintaksis 5: Bentuk Ayat.


E. BENTUK AYAT

a) AYAT TUNGGAL
Ayat tunggal ialah ayat yang terdiri daripada satu subjek dan stu predikat.

Contoh:
i) Encik Ali pengetua sekolah itu.
ii) Kami sedang makan nasi.
iii) Cikgu itu sangat dedikasi
iv) Mereka dari Kuala Lumpur.

b) AYAT MAJMUK
Ayat majmuk ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu subjek atau predikat. Berdasarkan ayat-ayat yang dibentuk, terdapat tiga jenis utama ayat majmuk, iaitu:

i) Ayat majmuk gabungan
ii)Ayat majmuk pancangan
iii)Ayat majmuk campuran

i) AYAT MAJMUK GABUNGAN
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat (yang sebenarnya boleh berdiri sendiri) yang dijadikan satu dengan menggabungkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, sambil, lalu, lagi, serta, dan sebagainya.

Contohnya:
1. Abu suka bermain ragbi dan dia selalu berlatih dengan rakan-rakannya.
2. Abang suka bermain golf tetapi saya suka bermain bola sepak.
3. Awak suka tinggal di rumah batu atau rumah papan?

ii) AYAT MAJMUK PANCANGAN
Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terdiri daripada;
- Ayat utama/ayat induk (boleh benrdiri sendiri) dengan satu atau lebih ayat kecil/kalusa kecil (tidak boleh berdiri sendiri) yang dipancangkan dengan ayat induk dan menjadi sebahagian daripadanya.
- Dalam bahasa Melayu terdapat 3 jenis ayat majmuk pancangan, yang ditentukan oleh cara pembentukannya dan jenis ayat yang dipancangkan. Jenis-jenisnya ialah:

1. Ayat majmuk pancangan relatif
2. Ayat majmuk pancangan komplemen
3. Ayat majmuk pancangan keterangan

1. AYAT MAJMUK PANCANGAN RELATIF
Dalam ayat majmuk jenis ini, kata hubung relatif yang, digunakan untuk memancangkan ayat kecil/klausa kecil ke dalam ayat/klausa induk. Contoh:
Ayat utama/induk - Saya suka membaca buku.
Ayat kecil - buku ditulis oleh Shahnon Ahmad
Saya suka membaca buku yang ditulis oleh Shahnon Ahmad.

Contoh-contoh ayat pancangan relatif lain:
i) Ali membeli baju yang berwarna merah.
*Dalam ayat ini ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam predikat ayat, dan bertugas sebagai objek.
ii) Perempuan yang baru tiba itu kekasih saya.
iii) Ceramah yang disampaikan oleh orang itu sungguh menarik.
*Dalam ayat ii) dan iii), ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam subjek ayat.

2. AYAT MAJMUK PANCANGAN KOMPLEMEN
Ayat majmuk jenis ini ialah ayat yang terdiri daripada klausa induk dengan klausa kecil dipancangkan untuk melengkapi kata kerja dalam ayat induk. beberapa kata hubung digunakan untuk mencantumkan klausa kecil dengan klausa induk. Yang paling lazim ialah bahawa dan untuk seperti yang digunakan dalam ayat-ayat berikut:
i) Perempuan itu memberitahu bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
ii) Tentulah tidak wajar untuk mereka bertindak sedemikian.

3. AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN
Ayat majmuk jeis ini ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu klausa induk dan satu klausa kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat.

Contohnya:
i) Imran telah besar (klausa induk)saya meninggalkan kampung itu(klausa kecil)
Kedua-dua klausa ini dicantumkan dengan menggunakan kata hubung keterangan semasa.
Imran telah besar semasa saya meninggalkan kampung itu.
catatan: Klausa kecil juga boleh hadir di hadapan klusa induk. Jika hal ini berlaku, koma (,) lazimnya hadir selepas klausa kecil.
Semasa saya meninggalkan kampung itu, Imran telah besar.$ 

Jenis Ayat Keterangan

1. Ayat Keterangan Musabab
i) Mereka berjaya kerana mereka rajin berusaha.
ii)Lantaran tidak berhati-hati, Amir telah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
iii)Dia tidak hadir ke sekolah oleh sebab hari hujan.

2. Ayat Keterangan Akibat
i) Ali menjerit hingga serak tekaknya.
ii)Mereka tidak pernah mengalah sehinggalah mencapai kejayaan.

3. Ayat Keterangan Syarat
i) Jika diizinkah Allah, saya akan ke mari lagi.
ii)Saya akan berjuang bermati-matian sekiranya diperlukan.
iii)Andai kita gagal, kita akan melipat-gandakan usaha kita.

4. Ayat Keterangan Waktu
i) Kita akan bertolak setelah semuanya selesai.
ii)Sementara ibu tiba, ayah membaca surat khabar.
iii)Tatkla hujan renyai-renyai, ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

5. Ayat Keterangan Pertentangan
i) Sekalipun Pak Ali sudah tua, dia masih gigih mengerjakan kebunnya.
ii)Kita akan teruskan perjuangan seni ini, meskipun Ustaz asri sudah tiada.
iii)Meskipun hujan lebat,para peminat Siti Nurhaliza tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsertnya.

6. Ayat Keterangan Harapan
i) Kita mesti belajar bersungguh-sungguh supaya dapat kejayaan cemerlang.
ii)Cuba bertanya kepada Ali, kalau-kalau dia boleh menolong kita.

7. Ayat Keterangan Cara
i) Pelari pecut dunia itu diarak dengan kereta kuda.

8. Ayat Keterangan Tujuan
i) Demi kebaikan anak bangsa, para guru hendaklah bertugas dengan dedikasi.
ii)Kita perlu melakukan sesuatu untuk menjayakan program amal tersebut.

9. Ayat Keterangan Perbandingan
i) Ali terpinga-pinga seperti ayam berak kapur.
ii)Pelajar-pelajar SMTSA terpekik terlolong seakan-akan halilintar membelah bumi.


iii AYAT MAJMUK CAMPURAN
Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Ayat sedemikian biasanya panjang.

Contoh:
i) Dia mengambil buku yang baru dibeli lalu itu masuk ke bilik tidur.
- Dia mengambil buku.(klausa induk)
- Dia masuk ke bilik tidur.(klausa kecil)
- Buku itu baru dibeli.(klausa relatif)

Ilmu Tatabahasa 6: Sintaksis 4: Ragam Ayat.



(D) RAGAM AYAT
Dilihat dari segi ragam ayat, ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif.

PENJENISAN AYAT AKTIF
Ayat aktif terbahagi dua iaitu:
i) Ayat Aktif Transitif
ii)Ayat Aktif Tak Transitif

AYAT AKTIF TRANSITIF
Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambutnya.

Contohnya:
a) Penyalahgunaan najis dadah mengancam keselamatan negara kita.
b) Beliau mengesahkan bahawa surat itu sudah dikirim.
c) Ayah membelikan ibu seutas rantai emas.
d) Sultan Pahang menganugerahkan gelaran Datuk kepada Siti Nurhaliza.

AYAT AKTIF TAK TRANSITIF
Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya. Terdapat dua jenis ayat aktif tak transitif.

i) Ayat Aktif Tak Transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan.
- Ayat jenis ini mengandungi kata kerja tak transitif yang boleh mengandungi frasa keterangan secara pilihan, iaitu boleh digugurkan.

Contohnya:
(a) Pasukan ragbi sedang berlatih di padang.
Pasukan ragbi sedang berlatih.
(b) Kita hendaklah berpuasa di bulan puasa.
Kita hendaklah berpuasa.

ii) Ayat Aktif Tak Transitif dengan Keterangan yang Tidak Boleh Digugurkan.
- Ayat jenis ini mesti mengandungi kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh unsur pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini berfungsi sebagai frasa keterangan yang tidak boleh digugurkan.

Contohnya;
(a) Semasa kejadian itu saya berada di luar negara.
Semasa kejadian itu saya berada ......(ayat tidak sempurna tanpa frasa keterangan sebagai unsur pelengkap)
(b) Saya bercadang untuk ke sana esok.
Saya bercadang ..........

PENJENISAN AYAT PASIF
Secara umumnya Ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu:
i) Ayat Pasif dengan imbuhan kata kerja
ii) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.
iii)Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja

AYAT PASIF DENGAN IMBUHAN KATA KERJA PASIF
Dua imbuhan kata kerja pasif ialah di- dan ter-. Contoh penggunaan dalam ayat:
a. Buku itu belum dibaca oleh Ali.
b. Tembok itu telah terlanggar oleh lori sampah.

CATATAN:
- Ayat pasif dengan kata kerja berawalan di- hanya digunakan dengan frasa nama objek orang ketiga. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua mempunyai bentuk pasif yang berlainan.
- Selain di- dan ter-, ayat pasif juga dibentuk dengan kata kerja yang mengandungi imbuhan ber- dan ke-....-an Dalam ayat-ayat berbentuk begini, bahagian oleh + FN biasa tidak diperlukan.

Contohnya:
a) Kerana alat penghawa dingin itu rosak, kami kepanasan sepanjang hari.
b) Malam tadi beberapa buah rumah di kampung saya kecurian.
c) Baju pengantin itu berjahit dengan benang sutera.
d) Surat sahabat karibnya belum berjawab.

AYAT PASIF DENGAN PERKATAAN `KENA'
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh secara pilihan digugurkan.

Contohnya:
a) Penagih dadah itu kena tangkap (oleh penduduk kampung).
b) Pencuri itu kena kejar (oleh anjing).
c) Pemandu itu kena saman (oleh polis)

Ilmu Tatabahasa 5: Sintaksis 3: Susunan Ayat.



(C) SUSUNAN AYAT

Ayat terdiri daripada subjek dan predikat. Dari segi susunan binaan ini, terdpat dua bentuk susunan, iaitu:
- Susunan biasa
- Susunan songsang

(i) SUSUNAN BIASA
Susunan biasa bermaksud susunan subjek ayat mendahului predikatnya.

Contohnya:
a. Pemandangan di kampung itu (subjek) sungguh cantik.(predikat)
b. Majlis itu (subjek) selesai juga akhirnya.(predikat)
c. Pasukan bola sepak Chelsea (subjek) belum tiba lagi. (predikat)
d. Hadiah itu (subjek) daripada cikgu Ahmad.(predikat)

(ii) SUSUNAN SONGSANG
Susunan songsang ialah susunan ayat yang predikatnya telah dikedepankan, iaitu mendahului subjek. Bagi ayat (1) di atas, susunan songsanya ialah:
1. Sungguh cantik (predikat) pemandangan di kampung itu.(subjek)

CATATAN: Tujuan membawa bahagian predikat ke hadapan ayat ialah untuk memberi penegasan.

Terdapat DUA cara mendepankan predikat ayat dalam bahasa Melayu iaitu:
1. Mendepankan keseluruhan predikat
2. Mendepankan sebahagian predikat

PENDEPANAN SELURUH PREDIKAT
Dalam proses pendepanan seluruh predikat, seluruh predikat dibawa ke hadapan ayat, mendahului subjek.

Contohnya:
a. Majlis itu (subjek) selesai juga akhirnya.(predikat)
Selesai juga akhirnya (predikat) projek itu.(subjek)
b. Pasukan bola sepak Chelsea (subjek) belum tiba lagi.(predikat)
Belum tiba lagi (predikat) pasukan bola sepak Chelsea (subjek)
c. Hadiah itu (subjek) daripada cikgu Ahmad.(predikat)
Daripada cikgu Ahmad (predikat) hadiah itu.(subjek)

Walau bagaimanapun pendepanan sebahagian daripada predikat juga boleh berlaku, iaitu:
(i) pendepanan frasa kerja
(ii) pendepanan frasa adjektif
(iii) pendepanan frasa sendi nama

1. PENDEPANAN FRASA KERJA
Dalam proses ini, bahagian frasa kerja, iaitu kata kerja sahaja, kata kerja dengan objek, kata bantu dengan kata kerja boleh mengalami proses pendepanan.

(i) Pendepanan kata kerja sahaja
(a) Lelaki itu terduduk di situ.
Terduduk lelaki itu di situ
(b) Mereka berkelah di tepi pantai.
Berkelah mereka di tepi pantai.

(ii) Pendepanan Kata Kerja Dengan Objek
(a) Buku-buku itu dibakarnya.
Dibakarnya buku-buku itu.
(b) Ali membeli buku-buku itu di Pustaka Popular.
Membeli buku-buku itu Ali di Pustaka Pupular.

(iii) Pendepanan Kata Bantu Dengan Kata Kerja
(a) Pelajar-pelajar itu sedang makan di kantin sekolah.
Sedang makan pelajar-pelajar itu di kantin sekolah.
(b) Ali pernah pergi ke New Zealand.
Pernah pergi Ali ke New Zealand.

2. PENDEPANAN FRASA ADJEKTIF
Bahagian-bahagian daripada frasa adjektif boleh dihadapankan, iaitu mendahului subjek. Bahagian-bahagian tersebut ialah kata adjektif sahaja dan kata bantu dengan kata adjektif.

Contohnya:
(a) Pendepanan kata adjektif sahaja
i) Badannya lesu sepanjang masa.
Lesu badannya sepanjang masa.

(b) Pendepanan kata bantu dengan kata adjektif
i) Buah kuini itu belum tentu elok.
Belum tentu elok buah kuini itu.

3. PENDEPANAN FRASA SENDI NAMA
Frasa sendi nama merupakan salah satu predikat ayat. Frasa ini boleh dihadapankan, secara keseluruhan, apabila hadir sama ada sebagai predikat ayat atau sebagai unsur keterangan dalam ayat.

Contohnya:
(a) Arahan itu daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Daripada Kementerian Pelajaran Malaysia arahan itu.
(b) Rombongan itu akan bertolak pada pagi esok.
Pada pagi esok rombongan itu akan bertolak.
(c) Kuih-muih itu disediakan untuk para tetamu yang akan datang.
Untuk para tetamu yang akan datang kuih itu disediakan.