January 22, 2009

Ilmu Tatabahasa 1: Kata Pemeri Ialah dan Adalah.

A. Kata Pemeri 'ialah' menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama.

Contoh Ayat:
 
i) Anak ialah anugerah Allah.
ii) Beliau ialah orang yang dimaksudkan.
iii) Kaum lelaki ialah elemen terpenting dalam usaha memajukan negara.
iv) Masalah yang kita hadapi ialah kekurangan guru lelaki
v) Matlamat perjuangan kita ialah pembinaan bangsa yang bermaruah.
vi) Memandangkan anda ialah bekas pelajar SMTSA, anda dijemput ke majlis itu.
vii) Perkara ini ialah masalah yang perlu diselesaikan segera.
viii) Badminton ialah sukan yang semakin diminati oleh masyarakat negara ini.

B. Kata pemeri 'adalah' menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh Ayat:

i) Kursus ini dalah untuk pelajar bermasalah sahaja.
ii) Kerja-kerja pembaikan longkang itu dijangka siap adalah pada minggu hadapan.
iii) Warna baju itu adalah merah.
iv) Matlamat utama persatuan ini adalah untuk membantu golongan miskin.
v) Satu usaha yang dijalankan untuk membantu rakyat Palestin adalah dengan mengadakan tabung amal Palestin.


*CATATAN:

1. 'Adalah' tidak boleh digunakan pada awal ayat.

Contoh :
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa....... (SALAH)
Dengan ini dimaklumkan bahawa .... (BETUL)


2. Selain itu, dalam penulisan, kita kerap membuat kesalahan dengan menggunakan ungkapan 'adalah' + kata kerja seperti yang berikut:
...adalah berasaskan, ...adalah berdasarkan,...adalah dibuat, ..adalah merupakan,..adalah melambangkan,..adalah diperakui,..adalah dinasihati,..adalah menjadi, ..adalah dipelawa,...dan sebagainya.

Contoh:
Para pelajar adalah dipelawa menyertai program itu. (SALAH)
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan persetujuan semua pihak. (SALAH)
Para pelajar dipelawa menyertai program itu (BETUL)
Keputusan ini diambil berdasarkan persetujuan semua pihak. (BETUL)


KESIMPULAN:
a) Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja.
b) Kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja.

*Rujukan:
1. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1997) DBP Kuala Lumpur
2. Koleksi Pedoman Bahasa Bil. 1. DPP Kuala Lumpur

1 comment:

Anonymous said...

ckgu..sy da ciap slin..huhuhuh