September 15, 2010

Ilmu Tatabahasa 4: Sintaksis 2: Jenis-jenis Ayat.

(B) JENIS-JENIS AYAT

Berdasarkan maksudnya, ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis yang utama, iaitu:

AYAT PENYATA - Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan mengatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan.

Contohnya:
(i) Abang ipar Abu pegawai eksekutif.
(ii) Mereka belum pernah ke sana.
(iii) Sekarang ibu berada di Mekah.
(iv) Baju batik Ali sungguh cantik.

AYAT TANYA - ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Ayat tanya tergolong kepada dua jenis, iaitu:

(a) Ayat tanya tanpa kata tanya - Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang selalunya dilafazkan dengan nada suara yang meninggi sebelum kesenyapan di akhir ayat. Dalam penulisan, nada tanya dilambangkan dengan tanda soal(?).

Contohnya :
(i) Abang ipar Abu pegawai eksekutif?
(ii) Mereka belum pernah ke sana?

*CATATAN
Ayat tanya jenis ini boleh disertai partikel tanya - kah, yang diletakkan pada predikat ayat. Apabila hal ini berlaku, bahagian yang menerima partikel - kah itu mengalami proses pendepanan.

Contohnya :
(i) Abang ipar Abu pegawai eksekutifkah?
Pegawai eksekutifkah abang ipar Abu?
(ii) Mereka belum pernah ke sanakah?
Belum pernah ke sanakah mereka? 

(b) Ayat tanya dengan kata tanya -Terdapat tiga jenis ayat tanya dengan kata tanya, iaitu:

(i) Ayat tanya dengan kata ganti nama tanya, iaitu apa, siapa dan mana.

Contoh :
- Benda itu apa?
- Apakah benda itu?
- Perempuan cantik itu siapa?
- Siapakah perempuan cantik itu?
- Ibu kamu mana?
- Manakah ibu kamu?

(ii) Ayat tanya dengan kata tanya, iaitu beberapa, mengapa, bagaimana, bila dan sebagainya.

Contoh:
- Harga cincin itu berapa?
- Berapakah harga cincin itu?
- Keadaan ibu anda bagaimana?
- Bagaimanakah keadaan ibu anda?
- Majlis itu akan diadakan bila?
- Bilakah majlis itu akan diadakan?

(iii) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya, misalnya di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila, dengan siapa dan daripada siapa.

Contoh:
- Kekasih awak tinggal di mana?
- Di manakah kekasih awak tinggal?
- Dia tinggal di situ sejak bila?
- Sejak bilakah dia tinggal di situ?
- Hadiah itu daripada siapa?
- Daripada siapkah hadiah itu?

AYAT PERINTAH-ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Berdasarkan kata perintah yang digunakan, terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:

(i) Ayat suruhan - Ayat yang diucapkan untuk memberi arahan, kata nama orang kedua dalam ayat perintah jenis ini boleh juga digugurkan.

Contoh:
- Kamu keluar dari sini sekarang juga.
- Keluar dari sini sekarang juga.
- Awak siapkan kerja itu sebelum pulang.
- Siapkan kerja itu sebelum pulang.

(ii) Ayat larangan - Ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu.

Contoh:
- Usah mempercayai dia.
- Jangan bermain di sini.
- Tak usah pergi ke majlis itu.

(iii) Ayat silaan - Ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila dan jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput dan mempersilakan seseorang.

Contoh :
- Sila datang pada hari esok.
- Jemput minum teh yang terhidang itu.

CATATAN : Ayat suruhan, larangan dan silaan, boleh menerima partikel-lah supaya pengucapannya lebih lembut dan sopan.

(iv) Ayat seruan - Ayat yang diucapkan dengan nada dan intonasi seruan untuk melahirkan satu perasaan, seperti takut, marah, takjub, geram, sakit dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dengan tulisan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. kata seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, aduh, syabas dan sebagainya.

Contoh ;
- Ibu!
- Amboi, cantiknya baju itu!
- Syabas, awak sudah berjaya!

March 17, 2009

Ilmu Tatabahasa 3: Sintaksis 1: Binaan Ayat.


Definisi Sintaksis:  
Bidang ilmu yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis juga bermaksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

A. Binaan Ayat.

1. Ayat ialah suatu bentuk bahasa yang TERBINA dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian iaitu SUBJEK dan PREDIKAT.

2. Jumlah ayat tidak terbatas, namun semua itu terbahagi kepada DUA golongan sahaja, iaitu:
AYAT INTI (AYAT DASAR) dan AYAT TRANSFORMASI.

3. AYAT INTI ialah AYAT DASAR yang paling sederhana bentuknya dan merupakan AYAT TUNGGAL, yakni terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. 

Contohnya:
(a) Orang itu / guru.
(b) Dia / di rumah.
(c) Rumah itu / besar sekali.
(d) Ali / duduk di situ.
(e) Anjing / mengejar kucing.

4. AYAT TRANSFORMASI pula ialah ayat lain yang kebanyakannya berasal daripada ayat inti (ayat dasar), tetapi dengan bentuk yang berubah, atau sekurang-kurangnya maksudnya berubah. 

Contohnya:
(a) Orang itu bukan guru.(bentuknya sama tapi maksudnya lain)
(b) Dia di rumah?(bentuknya sama tetapi maksudnya berubah menjadi ayat tanya)
(c) Besar sekali rumah itu. (maksudnya sama tetapi bentuknya berubah menjadi ayat songsang)
(d) Duduklah di situ. (bentuk dan maksudnya berubah menjadi ayat perintah)
(e) Kucing itu dikejar anjing. (maksudnya sama tetapi bentuknya berubah menjadi ayat pasif)

5. Dalam bahasa Melayu terdapat EMPAT pola ayat dasar.

Secara ringkasnya, empat pola ayat dasar tersebut seperti berikut:

Pola 1 - Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Contoh Ayat : Abdullah (FN) pelajar Sekolah Menengah Teknik Shah Alam.(FN)

Pola 2 - Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Contoh Ayat : Pengetua (FN) sedang berucap. (FK)

Pola 3 - Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Contoh Ayat : Era Fazira (FN) sungguh cantik. (FA)

Pola 4 - Frasa Nama + Frasa Sendi (FN + FK)
Contoh Ayat : Ibu pejabat syarikat kami (FN) di Kuala Lumpur. (FS)


*Bersambung pada entri akan datang dengan tajuk Sintaksis 2: Jenis Ayat.


March 15, 2009

Ilmu Tatabahasa 2: Kata Sendi & Kata Jamak.


A. Penggunaan kata Sendi Nama dari dan daripada.

Kata sendi nama dari digunakan untuk menunjukkan arah, tempat dan masa (ATM).

Kata sendi nama daripada pula digunakan untuk menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau perbandingan atau perbezaan.

Contoh:
1. Jarak dari rumah saya ke sini tidak sampai dua kilometer.
2. Pemeriksaan ke atas pesakit kronik itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.
3. Rumah terbuka saya akan diadakan dari pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 6.00 petang.
4. Ali mendapat hadiah hari jadi daripada ibunya.
5. Keluarganya berasal daripada keluarga bangsawan.
6. Remaja perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak.
7. Anda lebih baik membaca buku daripada membuang masa dengan melepak.
8. Pagi tadi abang bangun awal daripada biasa.


B. Penggunaan Kata Jamak Selepas Kata Bilangan.


Apabila sudah menggunakan kata bilangan (contoh: tiga, dua belas, beberapa, semua, kebanyakan, seberkas, dalam kalangan dan sebagainya), maka kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan lagi.

Contoh:
1. Tiga buah rumah-rumah ...............................(salah)
Tiga buah rumah ............................................(betul)
2. Beberapa orang anggota-anggota bomba ...(salah)
Beberapa orang anggota bomba ...................(betul)
3. Semua penduduk-penduduk ........................(salah)
Semua penduduk ............................................(betul)
4. Para guru-guru ...............................................(salah)
Para guru .........................................................(betul)
5. Kebanyakan penyanyi-penyanyi .................(salah)
Kebanyakan penyanyi ...................................(betul)
6. Pakaian-pakaian yang dijual di kedai itu murah-murah belaka....(salah)
Pakaian-pakaian yang dijual di kedai itu murah belaka ...............(betul)


Sekian. Ini sahaja buat masa ini.